loading...

Thursday, October 13, 2011

Maut Dilanggar Penyamun


 KAPAR: Tindakan seorang wanita cuba menghalang penyamun melarikan kereta Toyota Altis miliknya bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar dan diseret sejauh 60 meter di depan rumahnya di Jalan Kapar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.18 malam itu, Teoh Moy Lay, 51, eksekutif kewangan sebuah syarikat swasta baru pulang ke rumahnya dan ketika membuka pagar, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang terus meluru masuk ke dalam keretanya.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang menyedari suspek berusia 20-an itu cuba melarikan kereta miliknya cuba menghalang. “Mangsa menjerit meminta tolong daripada suaminya yang ketika itu berada dalam rumah.

“Apabila suaminya keluar, dia cuba menghalang suspek daripada melarikan kenderaan milik mereka, tetapi gagal.


“Malah suspek melanggar mereka menyebabkan suami mangsa cedera ringan, manakala mangsa cedera parah setelah diseret sejauh 60 meter dari lokasi kejadian,” katanya.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.20 malam ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

“Gerakan mencari suspek dan seorang lelaki lain dipercayai rakan suspek masih giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, suami mangsa, Koh Siew Ming, 57, yang ditemui masih bersedih dengan kejadian itu hanya menyatakan dia terpaksa menerima takdir isterinya sudah tiada.


Jiran mangsa pula yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia menyangka kekecohan didengarnya kerana suami isteri itu bertelagah.


“Saya dengar jeritan, tapi saya ingatkan mereka bergaduh. Sebaik keluar rumah saya nampak kereta yang melanggar mangsa sudah melarikan diri.


“Saya bergegas ke rumah mereka bagi memberi bantuan,” katanya.

Sumber: myMetro

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my