loading...

Friday, July 8, 2011

Akibat Kerosakan Lampu Isyarat

PORT DICKSON – Kerosakan lampu isyarat di simpang empat Telok Kemang menghala ke lebuh raya Seremban didakwa menjadi punca berlakunya satu kemalangan membabitkan dua kenderaan jam 3.40 petang, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, lampu isyarat itu rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik sejak dua minggu lalu.

Dalam kejadian, Nur Zuhairah Rosmani, 22, yang memandu kereta jenis Honda Swift terselamat, manakala empat lagi rakannya Nur Fadilah Aishah Murad,22, Fatin Nadia Suhaimi, 22, Laila Farhana Abdul Latif, 20, dan Mardiah Shafie, 24, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Seremban untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu kereta jenis Proton Saga, Hassan Ibrahim, 61, yang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampin selepas selesai membuat :urusan kerja di Port Dickson, hanya mengalami cedera ringan.

Nur Zuhairah berkata, dia bersama empat rakannya dalam perjalanan pulang dari Telok Kemang menghala ke lebuh raya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia dapati lampu isyarat masih hijau, namun ketika berada di tengah-tengah simpang berkenaan tiba-tiba sebuah kenderaan keluar dari simpang kiri menyebabkannya tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan.

“Kemudian saya pengsan dan hanya sedarkan diri ketika tiba di Hospital Port Dickson (HPD),” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HPD.

Isteri kepada mangsa pemandu kereta Proton Saga, Norsham Bachik, 58, berkata, selepas kejadian itu, suaminya menghubungi anaknya dan memaklumkan tentang insiden itu.

Menurutnya, mereka segera ke lokasi kejadian dan mendapati keadaan kereta sangat teruk.

“Mujurlah dia tiada apa-apa tetapi rawatan lanjut tetap diberikan untuk memastikan tiada kecederaan dalaman.

“Suami saya memberitahu, lampu isyarat menunjukkan hijau dan dia meneruskan perjalanan menghala ke Sua Betong,” katanya yang juga bekerja di Hospital Tampin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi, semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my